Mendukung idea inovatif, tangani cabaran kelestarian global



​​


Oleh: Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad / Foto: Mohd. Sahrizal Haji Said





 

TUNGKU LINK, Khamis, 3 Julai. - Sempena Anugerah CIPTA 2025 anjuran bersama Universiti Teknologi Brunei (UTB) dan Brunei LNG Sendirian Berhad, Seminar Eksekutif bertajuk 'Green Innovation for Sustainability' diadakan di Lecture Theatre 2, UTB serta disiarkan secara maya melalui platform Zoom.


Seminar tersebut merupakan salah satu acara dalam Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei (Brunei Mid-Year Conference and Exhibition 2025 - Brunei MYCE 2025) dan berperanan sebagai platform strategik bagi menggalakkan dialog antara pihak akademik, industri dan kerajaan dalam memacu inovasi mampan serta memupuk kerjasama dalam menangani cabaran alam sekitar.


Hadir selaku tetamu kehormat, Naib Canselor UTB, Datin Paduka Profesor Dr. Dayang Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman.


Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Pengerusi Jawatankuasa Seminar CIPTA 2025, Dr. Ismawi bin Haji Md. Yusof, antara lain menjelaskan yang mana pada tahun 2025, dengan tema 'Inovasi Hijau', tumpuan itu amat bertepatan dengan masa memandangkan dunia sedang mengorak langkah dalam mencari penyelesaian mampan dan ketahanan teknologi.


Menurutnya, seminar tersebut direka bentuk untuk memberikan refleksi mendalam mengenai pertandingan CIPTA 2025, dengan memberi fokus kepada elemen-elemen utama seperti penyertaan, pencapaian serta sumbangan keseluruhan pertandingan tersebut terhadap landskap inovasi.


“Berteraskan tema Inovasi Hijau, seminar ini akan meneliti bagaimana idea-idea inovatif dapat menyokong objektif pembangunan negara sambil menangani cabaran kelestarian global," tambahnya.


Seterusnya, ucaptama secara maya telah disampaikan oleh Profesor Dr. Wan Zuha Wan Hasan dari Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM).


Sesi diteruskan dengan forum perbincangan yang dikendalikan oleh Timbalan Ketua Jawatankuasa Teknikal CIPTA 2025, Ir. Dr. Nor Asiah binti Muhamad.


Forum tersebut menampilkan barisan panelis tersohor dari pelbagai bidang termasuk akademik, inovasi sektor awam serta industri kewangan dan perkhidmatan.


Antara panelis yang terlibat ialah Profesor Dr. Wan Zuha Wan Hasan; Ketua Bahagian Kualiti Perkhidmatan, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Dayang Hajah Nurul Akmar binti Haji Mohd. Jaafar; dan Ketua Jawatankuasa Teknikal CIPTA 2025, Pengiran Dr. Rafidah binti Pengiran Haji Petra.


Para panelis berkongsi pandangan berdasarkan pengalaman dan kepakaran masing-masing, menekankan keperluan industri yang sentiasa berkembang, peranan inovasi dalam bidang pendidikan dan penyampaian perkhidmatan, serta kepentingan kerjasama untuk menghasilkan penyelesaian yang berimpak.


Seminar diakhiri dengan sesi soal jawab interaktif yang memberi peluang kepada para peserta untuk berinteraksi secara langsung dengan panelis, sekali gus memperkaya lagi perbincangan dan input yang dikongsikan sepanjang seminar tersebut.


Close